Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary
Dilahirkan di Kedah pada tahun 1951.
Umur sekarang 2016 (65 tahun)
Keluarganya berasal dari Hadhramaut,Yemen.
Anak ke-3 daripada 7 orang adik-beradik.
Pendidikan SPM.
Mula berniaga - 19 tahun
(jual beli lembu dan kerbau)
Usahawan Bumiputera yang terkaya di Malaysia dengan kekayaan yang bernilai RM1.45 bilion
(tahun 2016)
Usahawan yang banyak menderma dan banyak melakukan kerja-kerja amal.
Rahsia Kejayaan
Ramai yang tertanya-tanya bagaimana Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhary boleh menjadi seorang usahawan yang hebat. Beliau bukannya bersuara lantang. Disegani ramai.
Hasil kejayaan beliau sekarang banyak didorong oleh semangat untuk memajukan agama, bangsa dan negara. Ini satu usaha murni yang semakin terhakis dalam diri masyarakat. 3 rahsia kejayaan beliau ialah :
- Perderma dan tidak suka menceritakan
- Mendahulukan 2 bidadari syurga - Ibu dan isteri
- Falsafah berbisnes untuk beramal
BERMULA MENCARI PENGALAMAN DALAM PERNIAGAAN
Disebabkan oleh latar belakang keluarga yang miskin, Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhari terpaksa melangkah ke dunia bekerja dalam kehidupan awal beliau, pada masa yang sama mengikuti pengajian rendah dan menengah. Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhari membantu ibunya menanam dan menjual sayur-sayuran di pasaran dan juga menjual roti canai. Pengetahuan angka beliau digunakan untuk membantu bapanya dalam melakukan buku simpanan harian.
Selepas tamat sekolah, Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhari membantu bapanya dalam perniagaan lembu penternakan tetapi hanya untuk melihat perniagaan itu muflis akibat penyakit kaki dan mulut. Walau bagaimanapun, beliau mengambil alih perniagaan dan mula semula dengan menjual daging. Beliau pergi dari pekan ke pekan di sekitar Alor Setar bagi membeli daging yang tidak terjual. Beliau kemudiannya membungkus daging itu bersama ais dan menjualnya kembali kepada peniaga Bumiputera dan restoran-restoran di sekitar Alor Setar. Beliau berjaya dalam perniagaan itu. Kejayaan itu menambahkan keyakinan beliau bagi memajukan diri dalam dunia perniagaan.
PERNIAGAAN MULA BERKEMBANG
Daripada perniagaan menjual daging, beliau beralih pula kepada perniagaan pengangkutan. Pada tahun 1972, beliau berjaya mendapat permit bagi empat buah lori Kelas A. Beliau mendapat bantuan pinjaman sebanyak RM110,000 daripada pihak MARA yang digunakannya bagi membeli dua buah lori Mercedes 911LS.
Tan Sri Syed Mokhtar kemudian menggunakan lori-lorinya bagi memulakan perniagaan beras. Pada tahun 1975, beliau menubuhkan Syarikat Shah dan memohon lesen perdagangan beras daripada Lembaga Padi Negara yang kini dikenali sebagai Bernas dan berjaya mendapat kontrak bagi membekalkan beras ke pihak FELDA, MARA Senama, Pernas Edar dan juga Sergam Sdn. Bhd., iaitu anak syarikat Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Johor.
Selepas berjaya dengan Syarikat Shah, beliau menubuhkan syarikat usaha sama dengan dua orang peniaga Cina, iaitu Ng Ghiak Gee dan Chua Chong Tan. Daripada beras, beliau kemudiannya mengembangkan perniagaannya kepada komoditi lain, iaitu gula. Ini masih dijalankan sehingga ke hari ini melalui Bukhary Sdn. Bhd. Pendapatan tahunan Bukhary Sdn. Bhd. kini mencecah RM250 juta.
MENGEMBANGKAN PERNIAGAAN KE BIDANG PEMBUATAN
Selepas mengembangkan perniagaannya bermula daripada bidang komoditi ke pengangkutan, beliau kemudiannya melangkah kepada sektor pembuatan. Ini ekoran kejayaannya mendapat kontrak membuat pakaian seragam tentera bagi pihak Kementerian Pertahanan. Kontrak itu adalah bagi membekalkan pihak tentera dengan 120,000 pasang kasut dan 330,000 pasang pakaian seragam.
Beliau kemudiannya membuat keputusan menubuhkan dua buah syarikat, iaitu Amtek Holdings bagi mengeluarkan kasut dan Oriental Garments Uniform Division bagi mengeluarkan pakaian. Apabila Amtek Holdings disenaraikan di Papan Kedua Bursa Saham Kuala Lumpur pada tahun 1998, beliau menggunakan wang penyenaraian yang diperolehnya bagi membeli Spark Manshop dan hak bagimengeluarkan dan memasarkan pakaian berjenama Crocodile. Kini, anak syarikat Amtek Holdings mengeluarkan kasut tentera (Amtek Shoes) dan pakaian berjenama Lee Coopers dan Lois (Amtek Garments Sdn. Bhd.) bagi pasaran eksport.
Sekitar tahun 80-an, Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhari menumpukan usaha beliau kepada bidang yang membawa tuah kepadanya sehingga menjadi seorang antara tokoh korporat bumiputera yang terkaya di Malaysia. Karier perniagaannya mula dikenali pada awal 90-an di Johor semasa Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Menteri Besar. Beliau yang amat meminati bidang pengurusan dan pembangunan pelabuhan adalah salah seorang manusia yang bertanggungjawab menjadikan Pelabuhan Tanjung Pelepas Johor menjadi terkenal di mata dunia dalam tempoh yang sebentar.Kejayaannya dapat dilihat dengan penguasaan sebanyak 90 peratus ke atas Seaport Terminal (Johor) Sdn. Bhd pada tahun 1993.
Walaupun menjadi hartawan yang disegani, sifat rendah diri yang dimiliki beliau membuatnya tidak pernah lupa dan bersyukur akan nikmat Allah. Malah, Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhari mengingatkan supaya berhati-hati dengan nikmat yang Allah kurniakan. “Kadang-kadang nikmat yang kita dapat boleh merosakkan kita. Kita kena kawal supaya nikmat tidak merosakkan kita. Yayasan Al Bukhary menjadi tempat untuk menempatkan lebihan yang boleh merosakkan diri kita,” pesan Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhari. Yayasan (Islam) Al-Bukhary yang diasaskan beliau telah membina dan menguruskan Muzium Kesenian Islam bernilai RM70 juta di Kuala Lumpur. Sehingga kini, Yayasan al-Bukhary membelanjakan lebih RM300 juta bagi aktiviti keagamaan, kebudayaan dan pendidikan.
Selain itu juga, Yayasan al-Bukhary hanya membiayai pelajar miskin. Antara inisiatif yang dilakukan adalah membiayai pelajar Muslim miskin dari serata ASEAN supaya belajar di Malaysia. Pada tahun 2000, Yayasan al-Bukhary mendermakan sejumlah RM775 juta kepada Oxford Centre for Islamic Studies, iaitu pusat pengajian Islam yang terkenal di serata dunia.
Yayasan al-Bukhary juga kini sedang membantu Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED) dalam projek bagi mengasaskan Institut Perubatan, Sains dan Teknologi Asia (AIMST) di Sungai Petani, Kedah. Penglibatan Yayasan al-Bukhary dalam projek yang dimulakan oleh bukan Islam juga terserlah. Walaupun Yayasan al-Bukhary lebih menekankan kepada projek kebajikan yang bercirikan Islam, ia tetap menyumbang kepada projek yang dijalankan oleh organisasi bukan Islam. Contohnya, Yayasan al-Bukhary menyumbang sebanyak RM1 juta bagi Projek Langkawi, iaitu projek yang dimulakan oleh MCA bagi mengumpul dana bagi menjalankan projek pendidikan di luar bandar dan juga memberi biasiswa kepada para pelajar yang kurang mampu.